Friday, April 1

Lara Alana Tercalon Dalam Kategori Personaliti Media Sosial Popular ABPBH 29



Pengacara dan pelakon popular Awal Ashaari, 35, terkejut apabila anaknya Lara Alana yang baru berusia setahun enam bulan tercalon dalam kategori Personaliti Media Sosial Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29).

Awal berkata, dia tidak menyangka penganjur boleh menyenaraikan nama Lara sedangkan dia sekadar anak selebriti.

Pastinya semua ini berpunca daripada populariti Lara yang mendadak apabila akaun Instagramnya yang diwujudkan Awal kini mempunyai ‘followers’ (pengikut) seramai 1.6 juta.

“Sebelum ini Lara pernah tercalon dalam kategori online untuk Anugerah Influence Asia 2015, tetapi saya tidak pernah mempromosikan untuknya apatah lagi meminta peminat mengundi.

“Ini kerana saya tak tergamak nak berbuat demikian. Instagram itu bukannya Lara, tetapi saya. Apabila perkara itu berlaku seolah-olah saya pula yang tercalon,” katanya.

Pengacara Melodi ini juga tertanya-tanya kenapa anaknya itu diangkat ke tahap lebih serius sedangkan tujuan asal Awal mewujudkan akaun Instagram Lara sekadar suka-suka.


Menurut Awal, dia juga rasa bersalah apabila Instagram anaknya semakin mendapat perhatian banyak pihak.

“Lara bukannya selebriti, sebaliknya hanya anak kepada selebriti. Jadi tidak sesuai kalau nak menggelarnya begitu.

“Apabila perkara ini sudah sampai ke tahap dia dicalonkan di acara anugerah, timbul rasa bersalah dan takut pula.

“Bukan apa, saya takut orang memandang serius kewujudan akaun Instagram Lara itu. Ramai ingat apa yang ditulis itu daripada Lara sehingga berlakunya pergaduhan sesama mereka di ruangan komen,” katanya.

Suami kepada pelakon dan pengacara Scha Alyahya ini turut mengakui tidak ada sebab untuknya berbangga, teruja atau gembira apabila anaknya tercalon.

“Lara dikenali kerana saya mewujudkan akaun laman sosial untuknya. Jadi tidak ada sebab untuk saya bangga atau nak mendabik dada. Lara masih sama seperti kanak-kanak lain.

“Cuma membezakannya adalah segala aktiviti harian dikongsi dalam akaun berkenaan. Lara beruntung apabila mendapat bapa seperti saya yang memang gemar berbuat sedemikian,” katanya.

Lara mula ke sekolah.

Bakal menginjak usia dua tahun Julai ini, Lara sudah mula ke sekolah sejak Januari lalu.


Menurut Awal, perkara itu bertujuan untuk memberi pendedahan keadaan persekitaran kepada anaknya.

“Persekolahan Lara lebih kepada ‘play school’ untuk membiasakannya dengan keadaan sekeliling. Dalam masa sama, nak melatih dia untuk mendengar arahan daripada pihak lain.

“Bukan apa, selama ini Lara tidak mempunyai teman terutama di rumah, jadi banyak perkara dia buat ikut caranya sendiri,” katanya.

Awal berkata, selepas tiga bulan bersekolah Lara sudah menunjukkan perkembangan positif.

Lara yang pada mulanya menunjukkan rasa kurang minat, kini dilihat bersemangat setiap kali dihantar ke sekolah.

“Masa mula-mula agak susah juga dan dia asyik menangis, tetapi sekarang dia lebih bersemangat dan teruja nak ke sekolah.

“Sekarang kalau menghantarnya ke sekolah, dia sudah pandai melambai saya,” katanya.

Menurut Awal, anaknya itu sudah pandai membaca huruf A sehingga Z, mengira dan makan sendiri.


No comments:

Post a Comment